Amboi Ayang Kerasnya!
Oct 19th, 2007 by ajet66
Cerita keras ini memang menjadi satu masalah. Mengapa ia jadi masalah? Ia boleh mewujudkan rasa serbasalah dan tidak selesa pada diri anda. Apatah lagi bila anda berada di khalayak ramai dan ramai pula yang sedang memandang.
Kalau boleh janganlah keras sangat sebab anda akan merasa malu pada orangramai. Mereka biasanya akan perhatikan anda sambil tersenyum sinis. Mungkin apa yang patut anda lakukan ialah meninggalkan tempat itu secepat yang mungkin. Namun, walaupun anda tidak ada lagi di situ, mungkin cerita anda akan merebak dan ramai yang akan tahu. Bak kata orang: Orang kampung dah tahu. Ceritanya mungkin akan ditambah-tambah pula untuk jadi lebih sedap, lebih sensasi.
Mungkin anda tidak kisah sangat. Anda sudah biasa dengan keadaan itu bila berada di rumah bersama isteri anda. Maklumlah, tidak ada siapa yang nampak. Tapi mengapakah begitu keras sekali? Adakah oranglain pun mengalami ‘kekerasan‘ sebagaimana yang anda alami? Mungkin anda berfikir, begitulah hidup manusia. Keras salah, tidak keras pun salah.
Sikap wanita itu macam kerak nasi. Dalam lembut-lembutnya, bila dia keras maka dia akan jadi keras sungguh. Apatah lagi jika dia memang keras hati. Namun begitu, dari apa yang saya perhatikan berlaku dalam beberapa keluarga, walaupun si isteri itu jenis yang keras hati, hatinya baik pula, malah lebih banyak baiknya berbanding sekelumit kerasnya yang dianggap ‘tidak begitu baik’ itu.
Oleh hal yang demikian, para suami hendaknya perlu bersabar dengan kerenah isteri. Ada kalanya dia berkelakuan begitu kerana dia hampir datang haid. Perubahan hormon yang mendadak dalam dirinya menyebabkan dia sendiri sukar mengawal emosinya lantas jadi keras dan marah-marah atau masam muka.
Bagi kaum wanita pula, sebaik-baiknya perlu sensitif pada keadaan. Sedapat-dapatnya elakkan dari memalukan suami di khalayak ramai. Kalau suami anda memang sudah faham sikap anda memang begitu, oranglain tidak akan faham dan tidak ada masa untuk faham. Ini akan mengundang cerita-cerita yang kurang manis berkaitan hubungan anda suami isteri.
Layanilah suami dan isteri anda dengan sopan-santun dan penuh berbudi-bahasa. Ini akan menjadi contoh yang baik kepada anak-anak dan akan mengangkat keluarga anda ke tahap yang dihormati dan dapat dicontohi oleh masyarakat.
Jumpa lain kali, insyaAllah.



